Tiga bulan tak temui isteri pelakon fail permohonan isteri nusyuz

Posted on April 18, 2008
Filed Under Hiburan |

Pelakon drama Puteri, Beego memfailkan permohonan nusyuz di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, terhadap isteri yang baru dinikahinya 29 Disember lalu. Beego atau nama sebenarnya Mohd Aszerul Nizam Abdullah memfailkan permohonan nusyuz terhadap Intan Shahira Mohd Shahru di hadapan Hakim Syarie Ahmad Irwan Ismail. Bagaimanapun, Intan tidak hadir di mahkamah tetapi diwakili peguam syarie Marlina Sobri, manakala Beego hadir bersama peguamnya, Md Nor Md Din. Mahkamah memberi tempoh 14 hari kepada Intan untuk memfailkan pembelaan dan balas jawab terhadap permohonan yang dikemukakan Beego. Sementara itu, Beego ketika ditemui di luar mahkamah berkata, permohonan nusyuz itu dibuat kerana hampir tiga bulan setengah beliau tidak bertemu isterinya.

“Saya sekadar merasai alam rumah tangga selama 10 hari saja, kerana sejak tiga bulan lalu saya tidak menerima sebarang berita daripada isteri. Saya pernah cuba menghubunginya melalui telefon tetapi tidak pernah dijawab. Saya sekadar melakukan apa yang diperlukan bagi mendapatkan pembelaan diri dan menegakkan kebenaran,” katanya yang ditemani rakan baik dan pelakon, Que Haidar. Beego berkata, pada 13 Januari lalu, beliau mengikuti penggambaran selama 10 hari ke Singapura dan apabila pulang ke rumah, isterinya sudah tiada.

“Sejak hari itu saya tidak menemui isteri saya, tetapi pernah menerima SMS daripada bapa mentua yang tidak membenarkan saya menjejakkan kaki ke rumah mereka. Sejak berkahwin, saya menerima pelbagai dugaan termasuk dakwaan yang mengatakan saya mengahwini Intan kerana harta, padahal tidak pernah timbul soal harta dalam perkahwinan kami. Saya tidak tahu bagaimana isu harta itu boleh tersebar di dalam blog dan saya menerima dugaan ini dengan tabah kerana ia mengajar saya erti kehidupan sebenar,” katanya.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 29 Disember lalu dengan wang hantaran RM20,000 dan sebentuk cincin emas putih bertatahkan berlian, manakala mas kahwin RM80. Majlis persandingan mereka diadakan di Dewan Bankuet Kelab Golf Diraja Johor, Johor Bahru, pada 30 Disember dan di Hotel Palace of The Golden Horses pada 12 Januari lalu.

Comments

Leave a Reply