Saintis universiti Oxford temui formula cinta

Posted on February 12, 2008
Filed Under Seks dan Perhubungan |

Mencari jodoh yang sepadan pada masa kini tidak lagi bergantung kepada astrologi atau isyarat bintang kerana terdapt pakar akademik Universiti Oxford menghasilkan formula yang lebih saintifik dan tepat yang akan dimasukkan dalam laman web eHarmony.com.au untuk digunakan mencari pasangan paling bersesuaian.

Anggota perkhidmatan temu janji menggunakan Sistem Padanan Secocok yang dipatenkan untuk mencari pasangan bersesuaian berdasarkan profil psikologi mereka. Laman web itu akan dilancarkan tidak lama lagi di Australia. Projek itu adalah antara yang terbesar seumpamanya dan membabitkan kajian ke atas lebih 700 pasangan suami isteri di Australia untuk menghasilkan formula suai padan untuk penduduk negara itu. Dalam usaha mengadakan temu janji pertama, pasangan perlu dipadankan dengan 29 aspek khususnya emosi, gaya sosial, perisikan dan kepercayaan rohani.

Pakar psikologi laman web eHarmony, Dr Galen Buckwalter, berkata kriteria yang berjaya menemukan pasangan secocok itu akan mempunyai hampir 80 peratus berkemungkinan membantu mereka berada pada tahap 25 peratus pasangan yang sehidup semati. Penyelidikan itu turut membabitkan saintis Australia, Dr Monica Whitty, bekas siswi Universiti Macquarie dan pakar dalam psikologi temu janji internet.

Bagi mendapatkan profil psikologi, ahli baru perlu menjalani penilaian yang termasuk 256 soalan untuk menentukan jenis personaliti mereka, kepercayaan dan nilai. Kemudian profil psikologi mereka diproses dalam sistem padanan untuk mencari pasangan berpotensi untuk hubungan jangka panjang yang berjaya.

Dr Buckwalter yang juga ketua penyelidikan dan pembangunan eHarmony berkata, reaksi emosi atau sepantas mana seseorang memberi tindak balas secara beremosi, dan tabiat bersosial adalah faktor penting mencari pasangan yang baik. Bagaimanapun, beliau mengenepikan kepercayaan bahawa perbezaan sebenarnya yang menarik, dengan mendakwa ia mungkin benar untuk sekilas pandang tetapi bukan untuk hubungan jangka panjang.

Comments

Leave a Reply