Ibu bersalin dapat hadiah emas dan berlian di US

Posted on March 25, 2008
Filed Under Umum |

Wanita Amerika Syarikat yang bakal menjadi ibu kini dihujani lambakan pemberian mahal dari suami masing-masing yang terpengaruh dengan jejak langkah bintang filem memberikan hadiah mewah kepada isteri mereka selepas melahirkan anak. Penyelidikan baru juga mendapati, berikutan itu juga bakal ibu di negara itu semakin berani menuntut pampasan kerana kesediaan mereka hamil dan mengharungi kesakitan ketika proses kelahiran dalam bentuk material seperti berlian, barangan kemas atau percutian mewah.

Kajian mendedahkan penduduk Amerika terikut-ikut dengan contoh bintang Hollywood seperti bekas pelakon siri James Bond, Pierce Brosnan, yang menghadiahkan isterinya, Keely, tiga rantai tangan emas dan berlian apabila anak lelaki mereka, Paris, dilahirkan. Beliau juga mengatur percutian selama dua minggu ke pulau peranginan Bora-Bora di Tahiti, percutian selepas bersalin dikenali sebagai ‘bulan bayi’ dengan kosnya dilaporkan mencecah £100,000 (RM680,000).

Akhbar The Telegraph melaporkan, aliran itu digalakkan berikutan pertambahan rangkaian hadiah yang direka khas untuk keadaan seumpama itu. Disebabkan itu juga, industri keibuan melahirkan konsep ‘hadiah desakan’ - kerana ia berupa ganjaran kerana melahirkan anak dan kerana bakal ibu seolah-olah memaksa suami berusaha keras membeli hadiah mahal. Golongan bapa pula tidak hanya hadir di dalam bilik bersalin tetapi muncul dengan hadiah lebih baik dari sekadar jambangan bunga.

Tinjauan oleh laman web keibubapaan, BabyCenter.com, mendapati hampir empat daripada 10 ibu baru menerima ‘hadiah desakan.’ Malah, bilangan lebih besar, 55 peratus, berkata mereka menjangkakan pemberian itu - dan dijangka sebahagian mereka kecewa apabila tidak memperolehnya. Syarikat Amerika kini berusaha untuk memastikan mereka tidak terlepas peluang itu dengan jenama barang kemas elit, Tiffany, menawarkan cincin keraian bagi ibu baru pada harga AS$2,300 (RM7,360), menonjolkan batu nilam merah jambu dan berlian untuk anak perempuan dan nilam biru serta berlian untuk anak lelaki.

Beberapa laman web pula menubuhkan pendaftaran hadiah secara online. Sebuah syarikat barang kemas, Hearts on Fire, mempunyai koleksi ‘keibuan’ yang membolehkan wanita menghantar e-mel ‘kiasan’ kepada suami masing-masing.

Comments

Leave a Reply